قال المصنف والشارح والمحشي رحم الله تعالى ونفعنا به وبعلومه وبعلوم مشائخنا في الدارين أمين
Alhamdulillah, dapat luangkan masa untuk mengulang kaji pada malam ini. Saya mulakan post pertama dalam blog ini untuk berkongsi berkenaan apa yang diajar oleh Maulana Syeikh Ahmad Al Hajain di dalam kitab Hasyiah Imam Ibrahim Al Baijuri.
Kitab ini merupakan kitab syarah (hasyiah) kepada Fathu Qorib karangan Imam Abi Abdullah Syamsuddin bin Muhammad Al Ghuzzah. Manakala kitab Fathu Qorib juga merupakan kitab syarah kepada Matan Abi Syuja’, karangan Imam Abi Syuja’ Ahmad bin Hussein Al Ashfahani.
Ketika ini, syeikh sedang mengajar bab berkenaan hukum bangkai haiwan. Adapun saya mulakan coretan ini dari mula bab ini iaitu dimulakan dengan takrif dan pengertian najis.
Najis (النجاسة) dari sudut bahasa adalah “sesuatu yang menjijikkan”. Maka dari takrif ini, dapat kita fahami najis menurut bahasa Arab bermaksud apa jua yang menjijikkan walaupun ianya bersih seperti tahi telinga, kudis, lumpur, air mani dan sebagainya, sedangkan dari sudut syarak, ianya tidaklah dihukumkan sebagai najis.
Dari sudut takrifan syarak pula, Imam Ibarahim Al Baijuri mengatakan bahawa najis bermaksud “perkara yang menjijikkan yang menghalang daripada sahnya solat dari sudut ia bukannya rukhsah”. Rukhsah yang dimaksudkan di sini adalah mereka yang dalam keadaan bernajis, tetapi tetap wajib menunaikan solat sebagai tanda hormat waktu. Maka dalam keadaan ini, tetap sah solat hormat waktu itu walaupun masih dalam keadaan bernajis.
Sebagai contoh, orang yang terperangkap di dalam satu bilik dan dia sedang menanggung najis. Padanya tidak ada air, batu atau tanah untuk bersuci. Maka dia tetap diwajibkan solat ketika masuk waktu solat tetapi sekadar solat untuk menghormati waktu dan wajib baginya mengulang semula solat itu apabila sudah mendapat air dan boleh membuang najis itu.
Takrifan syarak lain seperti yang terdapat pada matan Fathu Qorib adalah “setiap sesuatu yang kelihatan (عين) yang diharamkan untuk memakan atau meminumnya (تناولها) secara mutlak di dalam keadaan masih ada pilihan (tidak darurat, masih ada yang halal) dan mudah untuk membezakannya (mudah untuk mengenal sesuatu najis itu), ianya tidaklah diharamkan makan kerana ia dimuliakan, dan tidak diharamkan kerana menjijikkan dan juga tidak diharamkan kerana memberi darurat kepada badan dan akal”
Bila disebut “sesuatu yang kelihatan (عين) “, terkeluar darinya benda yang tidak kelihatan seperti angin. Maka jika angin keluar dari dubur (kentut), ia tidaklah najis dan tidak perlu dibasuh pakaian yang dipakai itu melainkan angin itu keluar bersama najis yang lain. Sifat kentut yang membatalkan wudhu bukanlah kerana ianya najis, tetapi kerana ianya keluar dari dubur (antara perkara yang membatalkan wudhu adalah keluar sesuatu dari qubul atau dubur walaupun angin)
“Secara mutlak” yang disebut itu sebagai menerangkan bahawa tidak kira ianya banyak atau sedikit, asalkan terdapat sahaja apa jua perkara yang diharamkan makan secara mutlak (dan bersifat dengan sifat najis), banyak atau sedikit ia tetap dikira najis. Terkeluar daripada ini perkara yang dibolehkan makan secara sedikit, tetapi haram apabila dimakan dengan banyak seperti candu dan ubat bius. Ini semua boleh diambil jika sedikit tetapi haram jika banyak. Maka ini tidak termasuk di dalam najis kerana diharamkan makan tidak secara mutlak.
Contoh perkara yang diharamkan makan secara mutlak adalah air kencing. Tidak ada hukum yang mengatakan boleh diminum air kencing (kecuali keadaan darurat) jika sedikit dan haram jika banyak. Air kencing adalah sesuatu yang haram dimakan secara mutlak, tidak kira sedikit ataupun banyak.
“Keadaan masih ada pilihan” bermaksud sesuatu yang haram dimakan secara mutlak ketika keadaan biasa, tidak ada darurat akan dihukumkan sebagai najis. Terkeluar darinya adalah keadaan darurat dan tiada pilihan. Sebagai contoh, khinzir adalah najis mughallazah dan diharamkan memakannya secara mutlak ketika keadaan biasa. Namun jika dalam keadaan darurat, ia diharuskan untuk dimakan demi menjaga kemaslahatan diri manusia.
Dengan ayat lebih mudah, sesuatu najis itu tetaplah dihukumkan najis walaupun diharuskan memakannya ketika darurat. Ini kerana ia asalnya haram dimakan dalam keadaan biasa disebabkan hukum najis yang ada padanya tetapi diharuskan makan ketika darurat. Diharuskan makan itu bukanlah disebabkan ianya tidak najis, tetapi disebabkan darurat dan akan timbul mudharat kepada diri jika tidak makan.
“Mudah untuk membezakan” adalah bermaksud sesuatu yang haram dimakan secara mutlak dan ianya mudah untuk dibezakan atau mudah untuk disedari oleh pancaindera manusia akan dihukumkan sebagai najis. Sebagai contoh, bangkai ulat di dalam buah-buahan dari sudut hukum sebenar adalah najis dan ianya diharamkan memakannya secara mutlak jika mudah untuk dikesan dan disedari. Tetapi jika ianya sukar untuk disedari (mungkin disebabkan tidak perasan atau terlalu kecil dan tersembunyi), maka dibolehkan untuk memakannya.
Maka, dapat difahami di sini, boleh memakannya itu bukanlah disebabkan ianya tidak najis, tetapi disebabkan factor lain. Dengan ayat mudah, bangkai ulat buah itu tetap dihukumkan najis dan haram dimakan jika mudah untuk disedari oleh manusia. Adapun jika sukar disedari, ia tetap dihukum sebagai najis, tetapi boleh dimakan kerana tidak perasan atau tersembunyi.
“Tidak diharamkan kerana dimuliakan”, ini bermaksud sesuatu yang diharamkan makan secara mutlak kerana ianya dimuliakan Allah (bukan kerana ianya najis), tidak ditakrifkan sebagai najis. Ada juga sesetengah perkara yang diharamkan makan, namun diharamkan itu bukanlah disebabkan ianya najis tetapi kerana ia suatu yang dimuliakan Allah hinggakan diharamkan untuk kita memakannya.
Contohnya, mayat manusia. Hukum mayat manusia adalah bersih dan tidak najis. Namun diharamkan makan kerana manusia dimuliakan Allah hinggakan menjadi haram jika kita memakan mayatnya. Jadi, diharamkan makan di sini bukanlah disebabkan ianya najis, tetapi kerana ia dimuliakan Allah.
“Tidak diharamkan makan kerana menjijikkan”, ini bermaksud sesuatu yang haram dimakan secara mutlak kerana ianya menjijikkan (bukan kerana ianya najis), tidak termasuk di dalam pentakrifan najis. Ini adalah kerana diharamkan makan itu bukanlah disebabkan ianya najis, tetapi ianya menjijikkan.
Sebagai contoh, air mani. Syarak menghukumkan air mani manusia sebagai suci kerana manusia berasal darinya. Namun, syarak menghukumkan haram memakan mani manusia kerana ianya menjijikkan. Maka, boleh difahami di sini hukum diharamkan memakan air mani manusia bukanlah disebabkan ianya najis, tetapi ianya menjijikkan.
“Tidak diharamkan makan kerana memberi mudharat kepada badan dan akal” bermaksud sesuatu yang diharamkan makan secara mutlak disebabkan ianya boleh memberi mudarat kepada badan dan akal manusia tidak dihukumkan sebagai najis. Ini kerana diharamkan memakannya itu bukan factor ianya najis, tetapi kerana dengan memakannya akan memberi mudharat kepada manusia.
Sebagai contoh, batu dan kaca. Keduanya ini diharamkan makan oleh syarak kerana ianya memberi mudharat kepada manusia jika dimakan, bukanlah kerana ia najis. Maka sesuatu yang diharamkan makan secara mutlak bukan kerana ianya najis tetapi kerana ianya memberi mudharat kepada manusia, tidaklah dihukumkan sebagai najis.
Kesimpulannya, sesuatu itu dihukumkan najis jika ianya
1. Diharamkan makan secara mutlak
2. Diharamkan makan ketika keadaan biasa, tanpa darurat
3. Diharamkan makan ketika mudah untuk mengesannya
4. Diharamkan makan bukan kerana dimuliakan
5. Diharamkan makan bukan kerana menjijikkan
6. Diharamkan makan bukan kerana memberi mudharat kepada badan dan akal manusia
Sekian sahaja untuk kali ini. Jika terdapat kesalahan harap dibetulkan. Jazakumullah
والله أعلم , وصلى الله على سيدنا محمد وعلى أله وصحبه وسلم










mumtaz dunia dan akhirat.
amin.
